nufnang

Tuesday, April 8, 2008

Terapi muzik cara berkesan damaikan minda, emosi

Oleh Dr Noordin Darus
MUZIK adalah sebahagian daripada warisan budaya manusia. Kewujudan dan kepentingannya kepada manusia dicatatkan sejak zaman purba lagi. Muzik membantu mengembangkan panca indera dan membangkitkan penghargaan terhadap kecantikan melalui bunyi yang teratur. Dunia seni sudah lama dihargai kerana mencuba untuk mentamadunkan masyarakat dan menjadikan mereka lebih berperikemanusiaan, selain menimbulkan kesedaran mengenai inti hati manusia. Dunia seni cuba mengimbangkan pencapaian manusia dari segi teknologi dengan memberikan jiwa kepada kerjanya. Sains saja tidak mampu menentukan sama ada penemuan teknologi teragung zaman kita akan digunakan untuk kemajuan dan manfaat manusia. Ini kerana sains tidak pernah dikenali sebagai pejuang nilai moral atau kepekaan estetik, sebaliknya muzik sepanjang zaman membantu mewujudkan kepekaan moral dan estetik yang sangat diperlukan dalam sesuatu masyarakat perindustrian yang tidak sensitif. Bagi pembela dunia seni, adalah lebih penting untuk mengenali dan mencintai umat manusia daripada mengetahui struktur atom; yang satunya lebih cenderung kepada kewujudan yang aman damai sementara yang satu lagi lebih cenderung kepada kemusnahan.
Terapi muzik Muzik dapat mententeramkan dan menyantaikan, khususnya muzik gubahan tokoh terkemuka antaranya termasuk Mozart, Beethoven dan Verdi. Muzik juga mampu menawarkan suatu kelegaan yang hebat, walaupun sementara saja, daripada kebimbangan, kerunsingan dan kerisauan dunia.


Satu tinjauan yang dijalankan di Amerika Syarikat ke atas penuntut kolej menunjukkan bahawa tahap kecerdikan dapat dipertingkatkan dengan mendengar muzik gubahan Mozart. Muzik penggubah termasyhur itu berupaya menurunkan denyutan jantung dan membuat anda bersantai. Maka, tidak hairanlah jika muzik digunakan sebagai alat terapi. Ada dua keadaan yang menggunakan terapi muzik. Satu daripadanya ialah keadaan klinikal, di mana terapi muzik itu digunakan untuk tujuan pembetulan. Keadaan yang satu lagi ialah keadaan pendidikan, di mana terapi muzik itu digunakan untuk meningkatkan kecerdikan. Dalam keadaan klinikal itu, penyelidikan mendapati bahawa orang yang mengalami masalah psikiatri bertindak balas dengan lebih baik kepada rawatan apabila mereka diberikan terapi muzik pada masa yang sama. Terapi muzik dalam keadaan pendidikan membantu pelajar belajar dengan lebih baik. Di samping meningkatkan kecerdikan, ia juga sangat berkesan untuk membaiki ingatan. Pelajar yang melalui terapi muzik itu juga menunjukkan keupayaan daya ingatan yang lebih kuat. Menyanyi tidak kira pada tahap penyanyi opera atau penyanyi bilik mandi, juga pelega tekanan mental dan ketegangan yang amat berkesan. Tanya sesiapa yang pernah pergi ke pusat karaoke yang ada di merata tempat itu. Tidak menghairankan yang karaoke yang bermula sebagai suatu fenomena Jepun, meledak dan berakar umbi di setiap pelosok dunia. Di Jepun, karaoke bermula sebagai satu upacara inisiasi, yang pekerja atau eksekutif baru dipaksa menyanyi di khalayak ramai sebagai sebahagian daripada orientasi mereka. Bagaimanapun, selepas semua orang menyedari bahawa kegiatan itu begitu menyeronokkan, bukan setakat kakitangan baru saja yang berlumba-lumba untuk menyanyi, malah yang lama turut mengambil peluang. Oleh itu, walaupun anda tidak boleh menyanyi langsung, cukup sekadar bersenandung atau bersiul kerana ia berupaya meringankan hati anda.
Terapi muzik belum lagi diiktiraf sebagai suatu rawatan penjagaan kesihatan tetapi ia digunakan untuk melegakan pelbagai penyakit emosi dan fizikal, termasuk kerencatan perkembangan diri, penyalahgunaan dadah dan penyakit kronik. Ia juga telah didapati berkesan sebagai pembantu pemulihan bagi kecederaan. Sebagai tambahan, terapi muzik juga digunakan untuk meningkatkan komunikasi dan sebagai alat bersantai. Saya tahu bahawa pakar terapi di Britain menggunakan terapi muzik untuk meningkatkan mutu hidup kanak-kanak yang akan mati. Mengikut mereka, setelah segala usaha gagal, satu daripada cara yang paling mudah dan berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit membawa maut ialah muzik. Setiap orang berupaya bergerak balas kepada muzik. Dengan keupayaannya untuk menenangkan, menggalakkan dan menyembuhkan, muzik dapat mengatasi penyakit dan ketidakupayaan melebihi cara yang lain. Pilihan muzik yang digunakan dalam terapi muzik adalah satu soal peribadi dan hendaklah mengikut cita rasa seseorang itu. Saya sendiri menggemari irama keroncong (muzik tempatan) walaupun anak remaja saya lebih suka kepada muzik zaman sekarang. Untuk menjayakan terapi muzik bagi diri anda, pilihlah muzik yang anda seronok dengar dan dapat membantu anda bersantai, sama ada muzik instrumental lembut, muzik klasik atau muzik "rock and roll". Satu lagu yang amat berkesan untuk menyeronokkan keadaan adalah lagu yang liriknya seperti berikut, "Don't Worry, Be Happy..." (Jangan Risau, Bergembiralah). Nyanyikanlah (atau bersenandung) bersama saya sementara anda menyelak halaman ini. Anda di ambang perubahan hidup anda! Sehingga kita berjumpa lagi pada dua minggu yang akan datang dengan satu topik yang lain. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-77887791 atau e-mail ke dnd@worldwellness.com.my

No comments: