nufnang

Monday, April 7, 2008

Kehebatan tamadun Islam

Warisan tamadun Islam masih teguh di Sepanyol
Oleh Prof Madya Dr Ahmad Zaidi Johari

MEMANG menakjubkan apabila melihat beberapa bangunan warisan seni bina Islam serta taman yang sangat luas di kota Valencia, Sepanyol dan pinggir jalan kota itu. Sebagai umat Islam tentunya kita berbangga warisan itu masih berdiri megah di benua Eropah. Sebahagian taman itu ditanam banyak pokok kurma. Bangunan dan taman dijaga rapi dan di tengah taman itu dibina saliran air dan kolam serta dihiasi pokok bunga ros, lili, jasmin dan pelbagai jenis bunga yang cantik dan berwarna-warni. Peluang melihat keindahan ini diperoleh ketika saya dan anak, Dr Ahmad Mujahid membentangkan kertas kerja di Persidangan Teknologi, Kejuruteraan dan Pendidikan di Valencia, Sepanyol, baru-baru ini.


Apa yang saya hendak tonjolkan di sini ialah begitu banyak warisan yang ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol ketika Islam memerintah negara itu dari 711 hingga 1492 iaitu selama kira-kira lapan kurun. Warisan itu dapat dilihat dalam bentuk ilmu, budaya, bahasa, teknologi, bangunan, bidang pertanian dan makanan. Apabila Tariq ibni Ziad dan angkatan tenteranya mendarat di Gibralta pada 30 April 711, mereka nampak Sepanyol seolah-olah tanah syurga kerana cairan salji dari gunung Seirra Nevada dapat mengairi seluruh Sepanyol. Pemerintahan Islam menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus yang bermaksud syurga.

Pemerintahan Islam membina banyak terusan untuk mengairi taman di istana, bandar, kampung dan di banyak dataran berdebu. Mereka membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.

Istana dan masjid itu dibina mengikut seni bina Islam yang bermutu tinggi dan dihiasi taman indah yang luas. Alhambra dan Masjid Qardoba adalah destinasi pelancongan yang sangat menarik di Sepanyol. Dunia seperti lupa Alhambra adalah warisan tamadun Islam selama hampir lapan kurun dan orang Islam bukan saja menduduki Sepanyol, tetapi memasuki banyak tempat di Eropah dengan pengetahuan Matematik, Sains, Kejuruteraan, Perubatan, Kesusasteraan dan Falsafah.

Ketika itu, Eropah dalam kegelapan dan tidak ada orang cerdik pandai di Eropah, malah tiada pusat pengajian di Eropah. Mereka terpaksa berhijrah ke Granada untuk mempelajari ilmu. Selain itu, orang Islam memperkenalkan dan mengadakan pertanian, terusan, oren, limau, beras, gula, pokok kurma, kapas dan lain-lain lagi.

Pemerintahan Islam memerintah Sepanyol agak terlalu lama. Mereka berasa terlalu berpuas hati, terlebih berkeyakinan, tidak mempedulikan dakwah Islamiah untuk menyucikan hati, enggan meningkatkan perpaduan dan kualiti umat, terlalu bermewah dan bersuka ria. Mereka juga terlalu mementingkan ilmu keduniaan, tetapi tidak mementingkan amal, maka angkatan Reconquest Kristian Sepanyol menyerang dan menguasai Taledo pada 1085, Tolesa pada 1212. Selepas itu, hampir keseluruhan Al-Andalus jatuh ke tangan Kristian kecuali Kerajaan Granada. Seterusnya Granada dikalahkan oleh Queen Isabel of Castile bersama suaminya Ferdinan Oregon pada 1492.

Pada tahun itu, semua pemimpin Islam diarahkan menyerahkan semua buku berbahasa Arab atau buku agama Islam. Buku-buku itu dibakar. 80,000 buku dari perpustakaan istana dibakar. Bermula dengan gerakan pemerkasaan orang Islam menganut Kristian di Valencia pada 1502, seterusnya King Philip II pada 1567 mengharamkan Bahasa Arab dan mengharamkan agama Islam. Orang yang menentang Kerajaan Kristian atau tidak mahu memeluk Agama Kristian dibunuh.

Penulis merupakan Pensyarah Pusat Kemahiran Komunikasi dan Keusahawanan, Universiti Malaysia Perlis, Perlis

No comments: