nufnang

Saturday, November 28, 2009

jenis-jenis haji

Haji Tamattu':

Haji Tamattu' ialah mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji, kemudian mengerjakan Haji pada tahun yang sama, di mana ketika berniat ihram Haji jemaah Haji berniat secara "Haji Tamattu'". Setelah itu dia berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperti yang dijelaskan sebagaimana berikut. Dia hendaklah menyebut:
لبيك اللهم بعمرة متمتعا بها إلى الحج اللهم أني أريد العمرة فيسرها لي ,تقبلها مني, نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى (عز وجل)
Yang bermaksud: (Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'), wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serta bertalbiah. Ketika sampai di Mekah al-Mukarramah jemaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting. Jemaah Haji terus berada dalam keadaan Tahallul sehinggalah sampai pada hari Tarwiah iaitu pada 8 Zulhijah di mana jemaah Haji akan berniat Ihram Haji dari tempat dia turun sambil berkata:
لبيك حجا اللهم أني أريد الحج فيسره لي، وتقبله مني، نويت الحج وأحرمت به لله تعالى (عز وجل) لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، أن الحمد والنعمة لك والملك، لاشريك لك.
اللهم أني أحرمت شعري وبشري، وجسدي وجميع جوارحي، من الطيب والنساء، ومن كل شيء حرمته على المحرم، وأبتغي بذلك وجهك الكريم، يا رب العالمين
Yang bermaksud: Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Wahai Tuhanku! Diharamkan bagiMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Engkau haramkan terhadap orang yang berihram, aku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam. Seterusnya dia mengerjakan Haji sebagaimana jemaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah s.w.t:
فمن تمتع بالعمرة إلى الحج فما استيسر من الهدى
Yang bermaksud: Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan.
Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamattu' tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Tamattu' yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.

Haji Qiran:

Haji Qiran ialah menghimpunkan antara Haji dan Umrah dalam satu perjalanan musafir (sekali pergi). Jemaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata:
لبيك حجا وعمرة
Yang bermaksud: Aku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah. Apabila jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Mekah, dia melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah seterusnya disyarakkan di sisi Hanafi agar jemaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad manakala di sisi jumhur memadai bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.

Haji Ifrad:

Haji Ifrad ialah berihram Haji sahaja (mengerjakan ibadat Haji secara berasingan) di mana jemaah Haji hanya berniat ihram Haji sahaja di miqat yang ditetapkan kemudian menyebut:
اللهم أني أريد الحج فيسره لي وتقبله مني
Yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Aku ingin mengerjakan ibadat Haji, oleh itu permudahkanlah bagiku dan terimalah ibadat Hajiku. Lantas bertalbiah. Apabila memasuki Kota Mekah jemaah Haji mula melakukan pekerjaan Haji di Masjidil Haram di mana apabila melihat Baitullah jemaah Haji bertakbir kemudian mengucapkan LA ILAAHA ILLALLAH dan bertasbih seterusnya melakukan Tawaf bagi bukan penduduk Mekah iaitu Tawaf Qudum mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali sambil menutup bahu kiri dan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama. Cara tersebut adalah sunat di sisi jumhur dan wajib bagi Mazhab Maliki. Penduduk Mekah tidak boleh melakukan Tawaf tersebut. Setelah selesai melakukan Tawaf Qudum, dilakukan pula Saie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Kemudian terus berada di Mekah dalam keadaan berihram. Apabila tiba hari Tarwiah dia berangkat ke Mina dan berada di sana sehingga selesai mendirikan sembahyang Subuh hari Arafah. Setelah itu bertolak pula ke Arafah dan berada di sana serta mendirikan sembahyang Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur (Jamak Taqdim). Setelah tenggelam matahari jemaah Haji mula ifadhah (beredar) sehingga tiba di Muzdalifah lalu mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak. Apabila terbit matahari pada Hari Nahar (Hari Raya Korban), jemaah Haji ifadhah (beredar) lagi ke Mina lantas mula melontar. Talbiah tidak lagi disebut setelah bermulanya lontaran pertama. Kemudian menyembelih korban jika ingin berbuat demikian lantas bercukur atau bergunting sebagai bertahallul, dengan demikian jemaah Haji dihalal semua perkara yang diharamkan semasa dalam keadaan berihram kecuali perempuan (bersetubuh). Setelah itu jemaah haji kembali ke Mekah lalu melakukan Tawaf di Baitullah sebagai Tawaf ziarah sebanyak tujuh pusingan seterusnya bersaie di antara Safa dan Marwah jika tidak melakukan Saie selepas Tawaf Qudum. Setelah selesai bolehlah bersaie dan bertahallul serta dihalalkan baginya perempuan (bersetubuh). Jemaah Haji kembali semula ke Mina dan berada di sana sehingga selesai melontar ketiga-tiga jamrah sama ada jemaah Haji yang tergesa-gesa ingin cepat pulang atau yang masih mempunyai banyak masa. Setelah itu jemaah Haji kembali lagi ke Mekah melakukan Tawaf Wida'.

Thursday, November 12, 2009

untuk mu

cinta madinah

Cinta madinah

Kembali kita berjauhan
Salam terpisah
Senyum tertahan
Rindu berbuah
Sayangnya merendang

Jauh begini hati teruji
Cinta Madinah dalam lembayung
Dalam terlarang
Tersinar yang agung
Bertopang cinta padamu nabi

Di bumi Madinah
Menjadi saksi
Cinta Madinah mekar berseri
Sinaran malar terik mentari
Dijurai dingin malam
Terukir setiamu

Kunjungan rindu
Mengatur alam rindu
Cinta Madinah menyebar harum
Menyebar semarak dalam kasih yang subur
Semarak dalam kasih cinta madinah