nufnang

Monday, April 21, 2008

Padamkan api fitna dengan Al-Quran

TIDAK dinafikan, al-Quran merupakan ubat utama kepada masalah manusia. Sebabnya, ia boleh diibaratkan sebagai buku manual yang dibekalkan oleh Allah untuk menangani makhluk yang bernama manusia. Walau bagaimanapun, seperti semua jenis ubatan yang lain, jika tidak diguna atau dipreskripsikan dengan betul, ubat tersebut akan menjadi racun yang boleh memudaratkan penggunanya.

Merujuk paradigma di atas, dapat disimpulkan tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders dalam menghasilkan filem kontroversi terbaru mengenai al-Quran samalah seperti mengambil al-Quran dari sudut yang tidak betul. Akhirnya memesongkan mesej sebenar ayat-ayat tersebut.

Walaupun rata-ratanya umat Islam seluruh dunia bangkit menentang filem tersebut, namun mungkin ada sesetengah umat Islam yang dangkal ilmunya akan terpengaruh dengan filem itu kerana kelemahan memahami ayat-ayat 'keganasan' yang diutarakan oleh Wilders.
Oleh itu, amat perlu ahli di dalam bidang al-Quran memperjelaskan kedudukan sebenar ayat-ayat tersebut iaitu (al-Nisa': 56 & 89, al-Anfal: 60, Muhammad: 4) agar salah anggap terhadap maksud ayat-ayat di atas tidak meracuni pemikiran sesetengah umat Islam.

Perlu dijelaskan bidang pengajian al-Quran seperti tafsir al-Quran adalah bidang ilmu yang cukup kompleks. Ia memerlukan penguasaan ilmu-ilmu asas Islam yang tinggi seperti kemampuan bahasa Arab, pengetahuan tentang ilmu hadis, sejarah, sirah, asbab nuzul, nasakh mansukh, makki & madani, tafsir bi al-ma'thur & tafsir bi al-ra'y, qiraat, ulum al-Quran dan sebagainya.

Ilmu-ilmu tadi merupakan nyawa, nadi dan alat utama yang diperlukan untuk seseorang itu benar-benar memahami al-Quran. Mana-mana ayat al-Quran yang tidak difahami dalam kerangka ilmu yang dinyatakan di atas, kepincangan makna akan terjadi seperti yang diutarakan oleh filem tersebut.

Al-Quran mengkategorikan orang bukan Islam kepada dua kategori iaitu kafir dzimmi (kafir yang menjadi teman kepada umat Islam, tidak bermusuh dan tidak mensabotaj umat Islam) dan kafir harbi (kafir yang sentiasa memusuhi serta cuba mensabotaj kelangsungan umat Islam).

Ini selaras dengan firman Allah,Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.(al-Mumtahanah: 8-9)

Kesemua ayat yang disebut di dalam filem Fitna itu ditujukan kepada kumpulan kafir harbi di zaman Rasulullah yang terdiri daripada kuffar Musyrikin Mekah dan Yahudi Madinah yang berpaling tadah.

Pihak kuffar Mekah telah bersungguh-sungguh berusaha membunuh serta menghapuskan pengaruh Islam di Mekah sehingga memaksa Nabi SAW dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan Islam. Ini dijelaskan oleh firman Allah dalam ayat ke 30 surah al-Anfal.

Semasa di Mekah, umat Islam dilarang memulakan perang sebagaimana firman Allah dalam ayat 77 surah al-Nisa'.

Mereka hanya dibenarkan membalas kezaliman musuh-musuh mereka serta melancarkan perang setelah berada di Madinah sebagaimana firman Allah, Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. (al-Hajj: 39-40)

Setelah arahan perang atau mempertahan diri secara fizikal dikeluarkan, amat perlu bagi umat Islam mempunyai kekuatan pertahanan seperti mana-mana negara di seluruh dunia. Untuk itu Allah menurunkan pula ayat surah al-Anfal yang digunakan oleh Wilders di dalam filemnya:Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.(al-Anfal: 60)

Setelah berlaku peperangan, fokus utama sesebuah armada tentera adalah mencapai kemenangan. Strategi untuk mencapai kemenangan mutlak ialah dengan merencana perang dengan segala kekuatan dan strategi yang ada.
Untuk itu Allah membekalkan umat Islam dengan ayat-ayat yang tampaknya keras, akan tetapi amat berkesan untuk menjamin kemenangan yang dikejar.

Contoh-contoh ayat inilah yang digunakan oleh Wilders di dalam filemnya.

Firman Allah, Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong. (al-Nisa': 89)

Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.(Muhammad:4)

Walaupun begitu, umat Islam masih terikat dengan adab-adab di dalam perang sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Pergilah kamu ke medan perang dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasulullah SAW. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak dan wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik". (riwayat Abu Daud)

Selain itu, perlu diingat bahawa al-Quran sememangnya kaya dengan nilai-nilai pengajaran yang universal. Ia telah berkurun menyentuh berbagai aspek kehidupan seperti keadilan sosial (al-Baqarah: 275, al-Hasyr:7), penjagaan alam sekitar (al-Rum: 41), dialog peradaban (al-Hujurat: 13), pemikiran kritis (Ali 'Imran: 190-191), hak-hak wanita (Ali 'Imran: 195, al-Nahl: 57-59, al-Zukhruf: 16-17), ekonomi (al-Baqarah: 282, Yusuf: 47-49), akhlak (Yunus: 57), komunikasi (al-Hujurat: 6), sains dan sebagainya.

Hanya segelintir ayat sahaja yang membincangkan perihal jihad dan peperangan bersesuaian dengan situasi dan keadaannya.


p/s: petikan ini di petik daripada Utusan Malaysia on 21.04.2008 Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

No comments: