Allah Taala telah memberi isyarat di dalam al-Quran bahawa manusia lebih mulia dari jin. Isyarat tersebut ialah:
Pertama: Perintah Allah kepada Malaikat dan Jin untuk sujud kepada Adam sebagai sujud hormat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 35:
dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan Yang kafir. (2:35)
Semua malaikat sujud hormat kepada nabi Adam melainkan Iblis. Dalam ayat yang lain menyebut bahawa Iblis ini adalah dari kalangan Jin.
Kedua: Manusia telah berjaya menyahut permintaan Nabi Sulaiman membawa takhta Ratu Balkis kepadanya lebih cepat dari apa yang dapat dilakukan oleh Jin. Peristiwa ini termaktub dalam surah al-Naml dari ayat 38 hingga 40.
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu Yang dapat membawa kepadaKu singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku Dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (27:38)
berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum Engkau bangun dari tempat dudukmu, dan Sesungguhnya Aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (27:39)
berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!" setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (27:40)
Apabila Nabi Sulaiman meminta mana-mana pegawainya dari kalangan jin dan manusia untuk membawa takhta Ratu Balkis sebelum dia sampai ke istana Nabi Sulaiman. Jin menawarkan khidmatnya yang mampu membawa takhta tersebut dengan amat cepat sebelum nabi Sulaiman bangkit dari kerusinya.
Tetapi seorang hamba Allah yang memahami selok belok ilmu Allah dan ilmu kejadian alam semesta menawarkan khidmat dapat membawa takhta Ratu Balkis dengan sekelip mata lebih cepat dari kekuatan Jin. Tetapi hamba Allah ini bersifat rendah diri dengan mengatakan itu adalah keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah untuk mengujinya samaada bersyukur atau tidak. Ini berbeza dengan Jin yang menawarkan khidmatnya dengan menzahirkan dirinya sebagai kuat dan hebat.
Ketiga. Peristiwa kewafatan Nabi Sulaiman yang menunjukkan Jin tidak mengetahui bahawa Nabi Sulaiman yang dilihat sentiasa berdiri memerhatikan mereka bekerja itu sebenarnya sudah wafat. Mereka hanya mengetahui kewafatan Nabi Sulaiman apabila ia rebah kebumi kerana tongkatnya telah hancur dimakan anai-anai. Kisah ini di abadikan oleh Allah dalam surah Saba; ayat 14:
setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada Yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) Yang telah memakan tongkatnya. maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, Bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara Yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di Dalam azab (kerja berat) Yang menghina. (34:14)
setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada Yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) Yang telah memakan tongkatnya. maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, Bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara Yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di Dalam azab (kerja berat) Yang menghina. (34:14)
Inilah yang menjadi punca dendam kesumat dalam hati Iblis terhadap penghormatan yang telah diberi kepada Nabi Adam oleh Allah dan para malaikat. Mereka masih bangga dengan asal usul mereka yang dijadikan dari api. Tetapi saban hari hikmah Allah memuliakan Adam semakin terserlah berbanding dengan Jin. Inilah yang menyebabkan Jin telah melipat gandakan usaha licik mereka untuk menyesatkan umat manusia dengan apa saja cara sekali pun. Misi mereka adalah untuk menjatuhkan kedudukan manusia dengan mengikut jejak langkahnya seterusnya akan bersama mereka dalam neraka Allah di akhirat nanti.
Tetapi sayang, masih ramai manusia tidak mengetahui hakikat sebenar hubungan Jin dan manusia. Masih ramai manusia yang tunduk dengan kehendak Jin. Ramai yang mengikut bisikan Jin dan syaitan yang meniupkan perasaan hasad dengki sesama sendiri dan sanggup menerima segala khidmat nasihatnya. Malah ada juga yang tertipu dengan helah Jin yang bersalutkan agama. Ada yang sanggup berzikir ribuan kali, berhari-hari dengan mengabaikan makan minum dan rehat semata-mata ingin berdamping dengan Jin. Ada yang meminta bantuan jin mencari barang-barang yang hilang, rawatan perubatan dan berbagai-bagai lagi khidmat lain.
Ingatlah pesan Jin sendiri yang telah memeluk Islam di zaman Rasulullah tentang keburukan meminta bantuan Jin. Nasihat ini di abadian oleh Allah dalam surah al-Jin ayat 6:
`Dan Bahawa Sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya Dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana Dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (72:6)
Allah telah mengangkat martabat manusia melebihi Jin tetapi kenapa kita manusia telah menjatuhkan martabat yang tinggi ini dengan meminta bantuan Jin dalam kehidupan seharian?