nufnang

Tuesday, February 28, 2012

Sk. Sungai Manila Sandakan Sabah


SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Sungai Manila mendapat namanya dari perkampungan pekebun pekebun kecil yang bernama Kampung Sungai Manila. Pada awalnya, sekolah ini dibina oleh Pihak Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah untuk kanak-kanak peneroka dengan nama Government English Primary School (G.E.P.S). Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantarnya.

Bangunan sekolah yang pertama siap dibina pada penghujung tahun 1966 dan dibuka pada awal tahun 1967. Sekolah ini pada masa itu bolehlah dikatakan masih dikelilingi hutan kecil kerana disekitar kawasan belakang bangunan sekolah masih dipagari oleh pokok besar dan kecil yang tidak ditebang oleh pembalak-pembalak yang hanya mengambil kayu-kayu yang bermutu sahaja.

Murid-murid yang belajar di sekolah ini adalah terdiri daripada berbagai bangsa seperti bangsa Bajau, Kadazan, Cina dan lain-lain lagi. Bilangan murid sekolah ini bertambah dengan cepatnya. Dalam masa setengah tahun jumlah murid menjangkau 80 orang. Menjelang penghujung tahun 1967, jumlah murid meningkat hingga 150 orang. Peningkatan ini disebabkan oleh pengisian peneroka di beberapa peringkat. Pada permulaan sekolah ini dibuka, murid yang mendaftar adalah terdiri dari anak-anak peneroka yang pernah bersekolah di sekolah lain.

Oleh kerana bilangan guru dan murid yang kurang, kelas-kelas darjah dua, darjah tiga, darjah empat dan darjah lima terpaksa disatukan dalam satu kelas darjah satu. Hanya seorang guru ditugaskan iaitu Puan Vergeos yang berbangsa India. Beliau juga adalah guru besar yang pertama sekolah ini.

Pengangkutan murid ke sekolah ialah sebuah Pick Up besar kepunyaan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah. Ada juga yang berjalan kaki ke sekolah. Pada tahun 1968, sebuah lagi bangunan sekolah siap dibina kerana pertambahan murid yang menjangkau 150 orang.

Dalam masa dua tahun sebanyak tiga kelas telah dibuka, iaitu darjah satu, darjah dua dan darjah tiga. Dengan inisiatif cikgu Kaseh Bongkalut iaitu Guru Besar pada masa itu, peperiksaan darjah enam dimulakan.

Murid meningkat dari 750 orang kepada hampir seribu orang dari tahun 1970 hingga tahun 1973. Pertambahan ini adalah disebabkan berikutan pembukaan peringkat tiga, empat dan lima serta sebuah kilang memproses kelapa sawit berhampiran dengan sekolah. Pada tahun 1981 bangunan konkrit Sekolah Kebangsaan Sungai Manila dibuka di satu tempat yang sesuai dengan mempunyai 13 buah bilik darjah, sebuah bilik guru besar, sebuah bilik guru-guru dan enam buah stor. Tiga buah rumah guru juga dibina berhadapan dengan bangunan sekolah.

Kini sekolah ini mempunyai 100% tenaga pengajar yang terlatih yang mampu meningkatkan prestasi murid-murid di sekolah ini dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Ramai pelajar dari sekolah ini yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka hingga ke peringkat Universiti.

(Disalin semula dari satu rencana yang diperolehi di Pusat Sumber S.K Sungai Manila yang telah siap dibingkaikan oleh guru yang terdahulu untuk tatapan dan rujukan semua)