nufnang

Thursday, November 11, 2010

Penjara Pudu : Kejahilan Kita Dalam Memperkasa Sejarah

Hasil dari : http://www.elviza.wordpress.com

Artikal ini saya copy daripada blog penulis yang lain. Saya amat tertarik dengan artikal dan gaya penulisan beliau. Saya copy untuk di kongsi bersama.

Penjara Pudu

by elviza

(Published in Sinar Harian on November 4, 2009)

Apabila tiba tarikh istimewa atau cuti umum, penulis bersama keluarga selalu duduk bersantai sambil makan-makan di restoran Big Apple, di tingkat 14, Menara Berjaya Times Square. Tiada apa yang istimewa di lantai 14 itu. Makanan dari dapur hotel lazimnya sama sahaja walau di mana lokasi kita di peta dunia.

Tetapi apa yang sering mencuri perhatian penulis adalah pemandangan yang polos di sebelah kiri dinding kaca hotel: Penjara Pudu. Persis bentuk kupu-kupu malam di tengah kota kosmopolitan Kuala Lumpur, penjara tua ini dilukis oleh jurutera Jabatan Kerja Raya, Charles Edwin Spooner, dan telah siap dibangunkan dalam tahun 1895 dengan kos sebanyak RM138,000.00.

Berusia 104 tahun, penulis percaya, bukan sedikit lipatan peristiwa yang tersimpan di dada penjara yang asalnya dilakar mengikut bentuk salib St Andrew itu.

Sewaktu zaman penjajah dahulu, banduan yang telah disabitkan bersalah menentang kerajaan British, akan digantung atau ditembak mati, dan terus sahaja ditanam di tapak Penjara Pudu agar berita pelaksanaan tidak keluar dari dinding penjara.

Setakat tahun 1993, Penjara Pudu telah menyaksikan hukuman gantung sampai mati ke atas lebih kurang 180 penjenayah termasuk Botak Chin dan dua pengedar dadah berbangsa Australia: Brian Chambers and Kevin Barlows.

Tetapi bukan itu yang penulis cari; kepingin benar di hati ingin tahu kehidupan dan suka-duka banduan-banduan yang pernah tinggal di tapak dinding batu berkerawat dawai tersebut.

Semasa penjara ini dibuka kepada umum sekitar tahun 1997, apa yang penulis ingat sehingga ke hari ini, adalah mural-mural indah yang dilukis oleh banduan di permukaan dinding penjara. Kebanyakan pintu dan jendela penjara, termasuk engselnya, masih kekal sepertimana bentuk asal ianya dibina. Penjara Pudu telah menarik lebih setengah juta pelawat setahun. Malangnya, penjara ini kembali ditutup dan usaha untuk membaikpulih telah diberhentikan kerana kegawatan ekonomi di lewat 90-an.

Seorang rakan penulis yang berkhidmat di Jabatan Penjara Malaysia telah menceritakan, terdapat sebuah lukisan potret wanita di penjara itu yang akan “menangis” apabila hari penggangtungan seseorang banduan itu semakin hampir. Potret itu asalnya dilukis oleh banduan yang juga menginap di lorong maut Penjara Pudu. Walaupun meremang bulu tengkuk mendengarnya, penulis tetap meragui kebenaran cerita itu.

Sungguh ironik sekali apabila sekarang tiba pula giliran Penjara Pudu untuk “dihukum gantung sampai mati”. Dalam kerakusan kita mengejar kemodenan dan memberi ruang untuk perkembangan perniagaan, Penjara Pudu ketika ini sedang disodok traktor dan diratakan permukaannya. Pemilik tanah, UDA Holdings Berhad, khabarnya ingin membina kompleks membeli-belah dan pusat hiburan di atas tapak bersejarah tersebut.

Jelek sekali penulis membayangkan apa yang akan terbina di masa hadapan; sebak mengenangkan mural-mural dan lukisan cantik di dinding penjara yang akan lenyap ditelan pembangunan. Sewaktu negara lain berusaha gigih untuk mendaftarkan tempat bersejarah negara mereka sebagai World Heritage Site di mata Unesco, kita dengan angkuh dan sombong terus memadam sejarah gargantuan negara. Kononnya atas nama pembangunan. Jahil sungguh!

Perangai tidak sensitif sejarah ini bukanlah penyakit baru. Di sekitar tahun 1984, sewaktu penulis sedang membesar di daerah Kuala Krai, pihak berkuasa tempatan telah menukar nama Tangga Bradley kepada suatu nama yang amat klinikal dan kurang makna seperti, “Tangga Krai”.

Adakah dengan memadamkan nama penjajah kita bisa melupakan hakikat bahawa kita pernah dijajah?

Sejarah adalah panduan, bukan garapan cerita dongeng penglipurlara yang lunak kedengaran di telinga. Ianya harus dititip dari generasi ke generasi supaya identiti kita di mata dunia jelas dan tidak boleh disangkal lagi.

Lihat sahaja Itali. Dalam usaha membaikpulih dan mengekalkan keunikan kota Venice – yang juga digelar “Bride of the Sea” atau “City of Bridges” itu – telah membelanjakan berbilion Euro untuk memastikan sejarah bangunan dan sistem pengairan Venice tidak luput dikekang masa. Banyak pengajaran yang boleh kita adaptasikan dari usaha negara-negara lain dalam memulihara sejarah mereka.

Bertitiktolak dari penamaan semula Tangga Bradley sehinggalah ke penghapusan Penjara Pudu, penulis cukup terkilan dengan keputusan pihak berkuasa dan pemaju tanah. Tetapi suara saya kecil, tiada berkudrat untuk menghalang jentolak dari memadamkan sejarah Penjara Pudu.

Tanah Malaysia ini tanah keramat. Bukan sedikit darah yang tumpah untuk membina bangsa merdeka dan berdaulat. Baru 52 tahun mencapai kemerdekaan, kita sudah lalai dengan sejarah Kuala Lumpur dan bangunan-bangunan tua di sekitar bandaraya.

Apa yang tinggal untuk kita ceritakan kepada anak cucu kita?

* Elviza Michele Kamal juga seorang peguam yang berblog di laman sesawang http://www.elviza.wordpress.com