
SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Sungai Manila mendapat namanya dari perkampungan pekebun pekebun kecil yang bernama Kampung Sungai Manila. Pada awalnya, sekolah ini dibina oleh Pihak Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah untuk kanak-kanak peneroka dengan nama Government English Primary School (G.E.P.S). Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantarnya.
Bangunan sekolah yang pertama siap dibina pada penghujung tahun 1966 dan dibuka pada awal tahun 1967. Sekolah ini pada masa itu bolehlah dikatakan masih dikelilingi hutan kecil kerana disekitar kawasan belakang bangunan sekolah masih dipagari oleh pokok besar dan kecil yang tidak ditebang oleh pembalak-pembalak yang hanya mengambil kayu-kayu yang bermutu sahaja.
Murid-murid yang belajar di sekolah ini adalah terdiri daripada berbagai bangsa seperti bangsa Bajau, Kadazan, Cina dan lain-lain lagi. Bilangan murid sekolah ini bertambah dengan cepatnya. Dalam masa setengah tahun jumlah murid menjangkau 80 orang. Menjelang penghujung tahun 1967, jumlah murid meningkat hingga 150 orang. Peningkatan ini disebabkan oleh pengisian peneroka di beberapa peringkat. Pada permulaan sekolah ini dibuka, murid yang mendaftar adalah terdiri dari anak-anak peneroka yang pernah bersekolah di sekolah lain.