nufnang

Tuesday, April 21, 2009

wasiat ke-9 Al-Banna, sebarkan Salam

Fahri Abdullah al-Masri Fri Mar 20, 09 11:51:24 pm MYT
"Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang." - Hasan Al-Banna.

Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu.



Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.
Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.

"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)

Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.
Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza.

Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin
Diakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."

Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.

Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).

Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam.
"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)

'Budaya lepak' secara Islam
Budaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam!

Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."

Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).



Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan.

Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.

Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid.
Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi.
Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.

Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.
Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan.

Saturday, April 18, 2009

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati

Tazkirah Jumaat: Mengapa Muslim biarkan hati mati
Ustaz Zainudin Hashim Fri Apr 17, 09 10:07:12 am MYT






Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah terletaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
*Zuhud dengan dunia
*Zikrullah
*Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Thursday, April 16, 2009

nothing specil

Assalammualaikum wrwbt..hek3 lama da tak masuk chek up blog ni..tak de masa nak edit..busy kit..lagi pun duk dalam gua ni payah nak online..bak kata member duk kat hujung dunia :p..tak ada apa benda nak share lagi ni..just nak share gambar2 jer la dulu..nanti d ada masa baru kemas kini..k thanks yang sudi gak masuk sini tempat yang da berhabuk :p...k papaiiii...never end...just go it far..


ni kat Hospital Taiping..tuk hematologi lab..

with Pn.Toh


pakcik zaini yg kebabommmm hak3


Ngan dak Uitm n Imu

Kawanku


Anab ku Sayang